Khamis, 8 November 2012

Antara Cinta Dan Benci

Benci adalah antithesis kepada cinta. Mengikut kajian saintis, perasaan benci boleh merosakkan sistem hormon badan, merendahkan sistem imunisasi tubuh serta meningkatkan risiko kepada pelbagai penyakit. Ada orang rajin menjaga kesihatan, memakan makanan seimbang dan melakukan senaman, tetapi tetap terkena penyakit. Selain masalah genetik dan pencemaran alam, ini mungkin kerana jiwanya tidak tenang dan penuh dengan perasaan benci.

Banyak jenayah seperti pembunuhan, rogol, penderaan, buang bayi dan sebagainya adalah bermula daripada perasaan benci. Benci boleh merosakkan sistem saraf dan kimia otak hingga menyebabkan kita boleh bertindak secara tidak waras. Orang yang dilahirkan dalam keluarga yang kucar kacir berkecenderungan untuk memiliki sifat benci. Sifat ini dipelajari daripada ibu bapa mereka dan ianya telah menjadi tabiat dalam diri anak itu. Bagi mereka perasaan benci itu adalah perkara biasa dan mereka terdorong melakukan jenayah.

Apakah itu benci? Benci adalah hilangnya perasaan cinta atau suka kepada sesuatu atau seseorang. Benci hadir apabila sesuatu itu tidak lagi mendatangkan faedah kepada dirinya malah mendatangkan kemudharatan pula. Benci jika tidak dikawal boleh menghasilkan dendam. Dendam, jika tidak dikawal boleh menghasilkan penderaan dan pembunuhan.

Benci terhasil daripada ego kita yang gagal menerima sesuatu hakikat. Ini kerana kita lebih mementingkan nilai kebendaan dan pengharapan kepada sesuatu. Jika ianya gagal memenuhi apa yang diharapkan, maka timbullah rasa benci.

Perasaan benci juga diterapkan melalui sistem pendidikan yang bersifat menilai dan menghukum sesuatu atau seseorang melalui penilaian luaran tanpa mengambil realiti sebenar sesuatu kejadian. Contohnya, menghukum seorang pencuri sebagai penjahat yang perlu dibenci, sedangkan pencuri tersebut mungkin terdesak kerana kelaparan.

Sikap yang suka menghukum ini menyebabkan rasionalisasi otak kita gagal berfungsi dengan sempurna lalu menghasilkan individu yang cepat melatah dan lebih teruk lagi lahirlah masyarakat yang kucar kacir, penuh dengan perjudis atau buruk sangka.

Media massa juga banyak memainkan peranan dalam menanam budaya benci. Hari ini kita banyak dihiburkan oleh drama-drama yang bertemakan kebencian dan dendam. Walaupun drama-drama ini bermatlamat untuk memberikan pengajaran terhadap akibat daripada sifat buruk tersebut, ianya boleh mengganggu sistem hormon ketika menontonnya. Ini termasuklah rancangan tv yang kononnya berbentuk informasi dan hiburan tetapi lebih berkecenderungan memaparkan keburukkan individu-individu tertentu untuk dibenci oleh masyarakat.

Untuk menghilangkan benci, kita perlu menerapkan budaya cinta dan sayang. Jika kita cinta dan sayang kepada diri kita, ibu bapa, keluarga dan masyarakat, kita tidak akan melakukan perkara yang boleh merosakkan diri kita dan masyarakat. Jika kita cinta kepada pasangan kita, sudah tentu kita tidak akan mendera atau menyakitinya dan bertanggungjawab dalam apa jua yang kita lakukan.

Cinta terhasil daripada perasaan ikhlas untuk memberi dan tidak mengharapkan balasan kebendaan daripada setiap apa yang kita beri. Setiap apa yang kita lakukan adalah atas dasar memberi kebaikkan kepada diri dan orang sekeliling kita. Perasaan cinta meningkatkan sensitiviti kepada keperluan orang sekeliling kita dan segala tindak tanduk kita akan mengambil kira impak kepada persekitaran kita. Secara rumusannya, perasaan cinta akan mematangkan kita.

Budaya cinta dan sayang semakin pudar dalam masyarakat kita. Budaya benci pula yang kian meningkat. Ini adalah kesan daripada nilai kebendaan yang kian menguasai jiwa kita. Pada hari ini, kita lebih kepada mengejar kemewahan hidup dan mencari wang yang banyak, tanpa kita sedari, anak kita di rumah tiada siapa yang memberi kasih sayang. Tiada siapa yang menghargai mereka. Nak mengharapkan kasih sayang daripada pembantu rumah? Banyak pula pembantu rumah yang melakukan penderaan. Maka, lahirlah individu-individu yang tidak seimbang, yang tidak mempunyai perasaan seperti manusia biasa.

Harus diingatkan di sini, jatuh bangun sesuatu bangsa itu bergantung kepada sistem kekeluargaannya. Jika sistem kekeluargaannya pincang, maka pincanglah bangsa itu, maka bermulalah zaman kejatuhannya.

Demi mengejar high income nation menjelang 2020 ini, kita terlupa budaya kasih sayang yang perlu diterapkan. Apa gunanya pendapatan tinggi kalau generasi yang akan datang bakal memusnahkannya. Fikir-fikirkan lah.

Salah satu tips untuk menghilangkan perasaan benci adalah dengan meminum air limau nipis tanpa gula. Ini kerana rasa masam limau tersebut boleh mengubati liver (hati) anda yang rosak akibat pencemaran alam, makanan berkolesterol tinggi dan bertoksik. Menurut perubatan cina, liver adalah berkaitan dengan kemarahan. Jadi , dengan memperbaiki liver, kita akan hilang rasa marah, secara automatik kita akan mudah memaafkan orang, maka hilanglah rasa benci.

Menurut pakar pemakanan, buah limau juga boleh membantu menghasilkan GABA (gamma-Aminobutyric acid) di dalam otak kita. GABA berfungsi mengawal daya ransangan neuron di dalam sistem saraf otak supaya kita lebih tenang dan sabar. Kekurangan GABA di dalam otak menyebabkan tumpuan kita terjejas, mudah bimbang, dan cepat marah. 

0 ulasan:

Catat Ulasan